Monday, February 23, 2009

CINTA KASIH IBU

Seorang ibu, anak-anaknya adalah manusia yang paling rapat dan disayangi dan dicintai sejak lahirnya ke dunia hingga ke akhir hayatnya. Biarlah ibu terkorban, biarlah ibu tidak makan, biarlah ibu menderita, biarlah ibu tidak tidur nyenyak di malam hari dan biarlah ibu banyak menangis, tetapi lidah ibu tidak pernah kering mendoakan anaknya semoga bahagia di dunia dan akhirat.

KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA

Nilai kasih sayang seorang ibu dengan bapa lebih tinggi lagi nilai kasih sayang seorang ibu. Buktinya? Bila lahir sahaja seorang bayi ke dunia, orang pertama yang dilihat dan dikenal ialah ibu. Ibu adalah orang yang banyak berkorban dalam usaha membesarkan kita dan seterusnya mendidik kita hingga menjadi muslim atau muslimat yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Pengorbanan ibu tidak dapat dinilai dengan emas dan perak malah tidak ada nilai dan harganya. Ibu bukan sahaja bekorban masa, tenaga, jiwa raga dan yang paling tinggi pengorbanannya menyabung nyawa ketika melahirkan anaknya ke dunia. Ibu dengan mudah melupakan segala kesakitan dan penderitaan ketika melahirkan anaknya dan seluruh kesakitan dan penderitaan masa bersalin serta merta bertukar dengan rasa gembira, syukur dan kasih sayang bila melihat wajah bayinya.

Kasih sayang seorang ibu melebihi kasih sayang segala-galanya. Pepatah ada mengatakan,”Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasih saudara masa berada, kasihnya ayah sanggup berpisah.”

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Syurga di bawah telapak kaki ibu”

Seorang ibu tidak mengenal susah atau senang, kaya atau miskin malah kadang-kadang makanan yang berada di dalam mulutnya, jika diminta oleh anak , disuapkan ke mulut si anak. Itulah ibu yang sanggup bertahan lapar asalkan anaknya kenyang. Ibu juga sanggup membenamkan kepentingan dirinya demi anaknya.

Apa yang merisaukan ibu ialah apabila anaknya sakit atau tidak mahu makan, ibu turut sama merasa begitu. Jika anaknya merengek dan menangis di tengah-tengah malam ibu tidak dapat tidur. Cuba bayangkan bagaimana susah dan sibuknya ibu menjaga dan mengasuh kita ketika kecil. Ibu menguruskan makan minum, kencing berak ketika kita kecil dan sabar melayan seribu kerenah dan ragam anak- anaknya.

Tatkala orang sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi barulah ibu dapat menjamah nasi untuk mengisi perutnya yang lapar.

Marilah kita kenang dan renungkan sejenak pengorbanan ibu, dan kita tidak patut sekali melupakan jasa ibu bapa kita. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa di antara orang-orang yang tidak dimasukkan ke syurga Allah dan tidak merasakan nikmatnya ialah mereka yang derhaka kepada ibu bapa, kecuali mereka bertaubat di dunia.”

Ibu bapa benar-benar ingin melihat anak-anaknya menjadi manusia berguna. Bila kita sudah besar kita disekolahkan tanpa mengira perbelanjaan samada mahal atau murah, aslkan anak mereka berpelajaran sejak dari sekolah hingga ke universiti. Mereka sanggup bermandi peluh, demi mencari wang untuk keperluan anak-anak. Sejuk pagi mengigit tulang, terik matahari membakar belakang, demi kebahgiaan dan keselesaan anak-anak mereka itu semua tidak dihiraukan. Pada mereka biarlah mereka susah asalkan anak-anak senang dan menjadi manusia yang berilmu pengetahuan.

Oleh itu kita sebagai anak sewajibnya menghormati kedua orang tua kita, berlemah-lembut baik dari segi tutur kata mahupun tindak-tanduk dan perbuatan kita bermanis muka dan gembirakanlah hati ibu bapa kita.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang membuatkn ibu bapanya gembira sesungguhnya ia membuatredha Allah, barang siapa menyakitkan hati kedua ibu bapa sesungguhnya ia membuat kekejian terhadap Allah.”

Wajiblah seorang anak menghiburkan hati kedua ibubapa lebih-lebih lagi bila ibu bapa sudah tua. Peliharalah mereka dengan baik dan sempurna, turutkanlah keinginan mereka selagi tidak bertentangan dengan ajaran Allah dan janganlah sesekali herdik kerana hati orang tua mudah tersinggung dan terguris. Kita sebagai anak hendaklah sentiasa mendoakan mereka tidak kira di mana mereka berada samada masih hidup mahupun sudah meniggal dunia adalah satu tanda untuk kita berbakti kepada mereka.

Begitu juga dengan seorang ibu yang sentiasa mendoakan anak-anaknya bahagia dunia dan akhirat. Apabila anak melakukan kejahatan Ibu akan menangis di tikar sembahyang di tengah-tengah kesepian malam dan berdoa memohon semoga Allah s.w.t mengampukan dosa dan memberi petunjuk, taufik dan hidayah serta memimpin anaknya ke jalan yang benar.

IMPIAN IBU

Bagi ibuku, derita dan susah payah mengasuh dan mendidik anak-anaknya adalah satu ibadah. Ibuku menganggap penderitaan itu bukan suatu yang membebankan dirinya bahkan itulah jalan untuk membina mahligai di syurga kelak. Ibuku tidak punya harta untuk diwasiatkan dan ibuku juga tidak mempunyai wang ringgit untuk dilaburkan bagi menjamin masa depan anak-anaknya. Tapi hasrat dan impian ibuku pada anak-anaknya akan menjadi mujahid-mujahid yang dapat menyambung perjuangan para Rasul dan para sahabat.

Ibuku tidak menjanjikan kepada anak-anaknya dengan nama dan pangkat, ibku tidak dapat menjanjikan kepada anak-anaknya dengan kekayaaan hidup dan ibu tidak dapat menjanjikan kepada anak-anaknya dengan wang ringgit , tetapi yang boleh ibuku lakukan ialah mendidik anak-anaknya seperti bintang-bintang di langit yang hidup matinya sebagai syuhada.

Terukir dalam fikiran ibuku tatkala lahir anaknya seorang putera, akan dididik menjadi seorang yang alim. Bila anaknya dewasa kelak, keperibadiannya seperti Hujatul Islam Imam Ghazali. Ilmunya luas seperti lautan yang tidak bertepi. Kehebatanya bagaikan air sungai yang mengalir yang dapat memberi manfaat kepada manusia zaman berzaman. Membawa resmi padi dalam hidupnya,makin berisi makin tunduk. Sifat twaduk yang dimiliki menjadikan dunia tunduk kepadanya.

Sekiranyan ibuku dikurnaikan seorang puteri, ibuku berharap agar dia sanggup hidup hanya untuk Allah. Ibuku juga berharap agar puterinya menjadikan lidahnya sentiasa basah dengan menyebut nama Tuhannya. Dahinya sentiasa sujud, tanda dialah hamba yang serba daif dan mengharapkan keampunan dari Allah. Air matanya menitis di tengah malam sunyi. Hatinya cekal menghadapi sebarang rintangan dan di kala itu kuat bergantung kepada Allah. Walaupun berat beban yang di pikul tetapi dilaksanakan dengan penuh kesabaran. Peribadi Siti Mariam ibu kepada Nabi Isa a.s menjadi impian ibuku dapa puterinya.

Kirnya kematian anak-anaknya lebih dahulu menemui Allah, ibuku harap anak-anaknya dapat menebus dirinya dari terhumban ke dalam neraka.